Sunday, March 9, 2008

sumber-sumber Sirah Rasul

Secara umum dapat disebut di sini bahawa sumber-sumber dan rujukan Sirah Nabawiyah ada tiga iaitu: Al-Quran, Sunnah Nabawiyah, Kitab-kitab Sirah dan Syair.

1: Al-Quran
Al-Quran merupakan rujukan pertama untuk memahami sifat-sifat umum Rasulullah S.A.W dan mengetahui tentang sirah-sirahnya.Al-Quran menerangkan tentang Sirah Nabawiyah dengan menggunakan dua cara:

* Pertama: menerangkan sebahagian dari kehidupan dan sirahnya. Seperti ayat-ayat yang menjelaskan tentang perang Badar, Uhud, dan Hunain serta ayat-ayat yang menceritakan perkhawinan dengan Zainab binti Jahsyi
* Kedua: menceritakan peristiwa-peristiwa yang terjadi untuk menjawab masalah- masalah ynag timbul atau mengungkap masalah yang belum jelas, atau untuk menarik perhatian kaum muslim kepada pengajaran dan nasihat yang terkandung di dalamnya.

2: Sunnah Nabawiyah
Apa yang terkandung di dalam kitab-kitab imam hadis seperti kitab-kitab enam, Muwaththa' Imam Malik, dan Musnad Imam Ahmad. Sumber kedua ini lebih luas dan lebih terperinci dan sebahagiannya diriwayatkan dengan sanad shahih. Tetapi ia tidak disusun secara sistematik. Hal ini disebabkan oleh:

* Pertama: Sebahagian kitab-kitab ini disusun berdasarkan bab-bab fiqah yang berkaitan dengan syariat Islam. Oleh itu hadis-hadis yang menjelaskan tentang sirah tidak disusun dengan baik dan ianya bercampur-campur.
* Kedua: Para Imam hadis khususnya penghimpun al-Kutub as-Sittah, ketika mengumpul hadis-hadis Rasulullah S.A.W tidak mencatat riwayat Sirahnya secara tersusun, tetapi hanya mencatat dalil-dalil syariah secara umum yang
diperlukan sahaja.

3: Kitab-kitab Sirah
Penyusunan tentang Sirah Nabawiyah dibuat pada zaman Tabi'in. Antara mereka ialah Urwah bin Zubir, Aban bin Uthman, Syurahbil bin Sa'd, Wahab bin Munabbih dan Ibnu Syaihab as-Zuhri. Akan tetapi semua ini telah musnah kecuali sebahagian yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabari.

Kitab Sirah Nabawiyah yang dinisbatkan kepada Ibnu Hisyam merupakan salinan dari Maghazzinya Ibnu Ushaq, dan kitab inilah yang ada sekarang yang terkenal dengan Sirah Ibnu Hisyam. Seterusnya lahirlah kitab-kitab Nabawiyah seperti al-Asfahani,kitabnya Dala'il an nubuwwah, Tarmizi, kitabnya Asy-Syama'il dan Ibnu al-Jauziyah dalam kitabnya Zad al-Ma'ad.

4: Syair
Syair telah sebati di dalam diri orang arab. Oleh itu, syair merupakan salah satu sumber bagi Sirah Nabawiyah. Ini adalah kerana setiap peristiwa yang berlaku mereka adiptasikan di dalam syair mereka. Contohnya Hassan bin Sabit, Ka'ab bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan ramai lagi yang menceritakan tentang peperangan dan sebagainya.